Sunday, May 1, 2011

Kami juga menyediakan koleksi-koleksi ilmiah bertujuan untuk pelajar mencari
dan menyelidik bagi tugasan yang di berikan seperti koleksi surat khabar,pinjaman cd dan menyediakan koleksi kertas peperiksaan .
KUPASAN BERITA 24/02/2011

Wawancara: UiTM teruskan kecemerlangan
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2011/02/24

Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar,Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar,Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Bakal buka 13 cawangan baru dengan memperkenalkan pelbagai bidang baru

SELEPAS lebih setahun dilantik Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkongsi pengalaman sebagai pentadbir utama kepada 187,000 pelajar, 9,000 kakitangan akademik dan 9,000 kakitangan am.
Ikuti temubual bersama Wartawan Varsiti, Mohd Feroz Abu Bakar mengenai cabaran yang dilalui universiti istimewa itu.
S Boleh Datuk ceritakan cabaran mentadbir universiti terbesar sejak setahun lalu?

J
Saya pernah bertugas selama dua setengah tahun di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Saya terbabit dengan pentadbiran 20 institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan ditugaskan membuat penilaian bagi setiap IPTA. Saya juga terbabit dalam Universiti Apex dan MyBrain15. Pengalaman berkhidmat bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selama dua setengah tahun itu memberi pengetahuan asas yang kuat. Apabila kembali semula ke UiTM, saya boleh terus mula bekerja. Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan cabarannya tetap ada. Cabaran awal ialah untuk mendekati pelajar, pensyarah dan kakitangan UiTM. Cabaran seterusnya ialah menjelaskan hala tuju UiTM dalam dekad baru dan menyampaikan perancangan ini melalui amanat kepada seluruh warga. Bukan sekadar itu, saya turut turun padang dengan melawat fakulti dan kampus cawangan bagi menjelaskan perancangan ini dengan lebih terperinci. Ternyata, tindakan ini mendapat sokongan seluruh warga UiTM, malah mereka meminta supaya diberi peluang untuk terbabit sama dalam pelaksanaan perancangan itu. Selain itu, kemudahan kepada pelajar, pensyarah dan kakitangan turut memberi cabaran tersendiri kepada saya. Ketika ini, kemudahan kolej kediaman tidak mencukupi, iaitu hanya kira-kira 60 peratus pelajar mendapat kemudahan ini. Pelbagai usaha sedang giat dijalankan untuk meningkatkan sehingga 80 peratus pelajar mendapat kemudahan yang sama.

Kita memberi kemudahan kediaman percuma untuk pelajar semester pertama bagi program diploma dan ijazah. Jika masih ada kekosongan, keutamaan akan diberikan kepada pelajar miskin yang senior. Kolej kediaman memerlukan kos tinggi termasuk bagi kerja penyelenggaraan. Keutamaan dana yang ada ialah untuk kemudahan akademik. Bagi pelajar yang tinggal di luar kampus secara tidak langsung mereka turut berperanan sebagai ejen pengembangan ekonomi luar kampus menerusi peningkatan rumah untuk disewa, kedai makan dan sebagainya.

KPT dan Jabatan Perdana Menteri memainkan peranan yang cukup penting untuk membantu saya mendapatkan peruntukan bagi kemudahan pelajar, pensyarah serta kakitangan yang lain. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sangat prihatin dan mengambil berat mengenai UiTM. Ini meringankan beban berat yang saya pikul.
Saya menggunakan slogan baru seperti ‘UiTM di hatiku’, ‘Cintaku, Nyawaku dan Hatiku adalah UiTM’ dan ‘Dalam Darahku UiTM Mengalir’. Malahan, Menteri Pengajian Tinggi dan Perdana Menteri turut mengatakan bahawa ‘UiTM di hatiku juga’. Dengan slogan ini, kita dapat menarik perhatian pelajar, pensyarah dan kakitangan supaya menyayangi universiti ini. Saya juga berpesan kepada semua agar sentiasa meletakkan UiTM di hadapan apabila ingin melakukan sesuatu perkara supaya imej UiTM sentiasa terpelihara.

S UiTM mungkin dicemburui kaum lain ?

J
Saya memikul amanah dan berada di sini untuk melaksanakan apa yang dipertanggungjawab kepada saya. UiTM sudah wujud sejak 54 tahun dulu. Kita tidak pernah mengganggu atau menggugat sesiapa pun. Kita tidak mengambil hak orang lain maka kita mengharapkan agar semua pihak menghormati perkara ini dan jangan sesekali menuntut hak yang kita miliki sekarang.

S Selain turun padang, apa kaedah lain Prof mendekati pelajar dan kakitangan ?

J
Saya menggunakan facebook sebagai medium perantaraan di antara saya dengan pelajar, warga dan alumni UiTM, malah sesiapa juga tanpa had. Pada mulanya, saya menggunakan akaun facebook saya sendiri, tetapi kini sudah dijadikan facebook UiTM. Ini memudahkan pelajar mendekati saya dan saya mendekati pelajar. Selagi boleh, saya sendiri yang akan menjawab soalan yang dikemukakan. Jika tidak, timbalan saya sentiasa sedia membantu. Dalam masa 10 bulan, hampir 28,000 orang sudah menjadi kenalan saya. Melalui facebook, banyak informasi yang saya peroleh. Pensyarah yang tidak masuk ke kelas pun berada dalam pengetahuan saya. Tidak keterlaluan jika saya katakan, facebook antara kaedah yang saya gunakan untuk mengawal sistem UiTM.

Selain itu, saya tidak mengehadkan pelajar, pensyarah mahupun kakitangan pentadbiran datang berjumpa saya asal saja saya mempunyai kelapangan waktu.

S Bagaimana dengan pencapaian sejak setahun lalu ?

J
Antara pencapaian yang dapat dilihat dengan jelas ialah komunikasi terbuka. Ini pencapaian luar biasa kerana mereka sentiasa boleh mengaitkan diri dengan UiTM. Pencapaian kedua ialah slogan yang saya mulakan iaitu meletak Melayu di peta dunia, meletak UiTM di peta dunia dan meletak fakulti di peta dunia.

Usaha ini membuahkan hasil yang baik apabila UiTM terus menerus mendapat pengiktirafan antarabangsa. Pelbagai universiti terkemuka dunia mengiktiraf UiTM dan ingin menjalinkan hubungan kerjasama dengan kita. Antara universiti itu ialah Universiti Oxford, Un iversiti Harvard, Universiti McGill dan Universiti The Johns Hopkins. Ini menunjukkan UiTM terkenal dan mereka menerima kita sebagai rakan kongsi dengan baik sekali.

Kita sedang membuat perancangan baru untuk menerima kehadiran 250,000 orang pelajar di seluruh sistem UiTM termasuk kolej bersekutu menjelang 2015 atau 2018. Kita akan menambah 13 buah kampus baru termasuk enam yang sedang dalam pembinaan. Kita juga menjalinkan kerjasama pintar dengan pihak swasta dengan menjemput mereka menjadi rakan kongsi untuk membiayai pembinaan kampus baru. Kita menyediakan tapak dan mereka menyediakan infrastruktur. Ini cara yang efektif untuk memodenkan kampus.

Dari segi akademik, kita akan memperkenal 200 program baru yang bersifat multidisiplin, multifakulti dan futuristik bagi menggantikan program sedia ada yang sudah kurang relevan dengan situasi semasa.

Saya juga memperkenal program ‘Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB)’. Ini program khas kerana asal-usul penubuhan UiTM ialah untuk membantu pelajar miskin mendapat peluang pendidikan yang sama seperti orang lain. Pada setiap semester, kita menawarkan lebih kurang 20,000 tempat kepada pelajar terbaik lepasan SPM/Matrikulasi/STPM dan ramai kalangan mereka daripada golongan berada atau mampu mendapat biasiswa atau pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. Menyedari golongan kurang mampu ini perlu dibantu, di sinilah program MDAB memainkan peranannya. Pelajar miskin yang tidak diterima masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi, diberi peluang belajar di UiTM supaya suatu nanti dapat mengubah takdir diri serta keluarga mereka.

Bagi yang ditawarkan tempat, mereka akan mengikuti program pradiploma selama enam bulan. Kira-kira 70 peratus daripada 5,000 pelajar bagi kumpulan pertama sudah berjaya meneruskan pengajian ke peringkat diploma. Ini kejayaan besar kerana mereka tidak perlu memohon ke universiti lain. Bagi pelajar yang gagal, kita berikan peluang kedua seperti mengikuti program kemahiran di Pusat Giat MARA atau mana-mana program keusahawanan.

S Apa strategi untuk UiTM terus bersaing dengan universiti lain ?

J
Kita tidak perlu bersaing dengan universiti lain kerana UiTM mempunyai hala tuju yang lain. Matlamat kita jelas dan kita tidak bersaing untuk menjadi universiti penyelidikan. Kita juga tidak bersaing dengan Harvard. Harvard hanya menerima pelajar yang terbaik, kaya dan berkuasa. Harvard mengeluarkan graduan terbaik untuk Amerika Syarikat. Tetapi, UiTM bukan hanya menerima masuk pelajar terbaik, malah turut membuka peluang kepada pelajar dengan kelayakan minimum serta daripada golongan miskin, namun kita masih mampu mengeluarkan graduan terbaik untuk negara. Itulah bezanya Harvard dengan kita. Harvard tidak boleh buat apa yang kita boleh buat. Itulah sebabnya mengapa saya katakan UiTM ada hala tujunya yang lain dan tersendiri.

Kita bersyukur kerana kebolehpasaran graduan kita masih tinggi. Peratus kebolehpasaran graduan tertinggi masih dimiliki oleh UiTM. Dalam tempoh enam bulan selepas bergraduasi, 80 peratus graduan kita berjaya memperoleh pekerjaan. Kebanyakan program UiTM ialah program profesional. Mungkin ada sebilangan masyarakat yang berpendapat kuantiti akan menjejaskan kualiti. Namun kita berani beri jaminan bahawa setiap program yang kita tawarkan dikawal ketat oleh lebih kurang 40 badan profesional dan badan berkaitan dengan bidang berkenaan dari dalam dan luar negara. Apabila program ini dikawal sedemikian rupa, pastinya tidak ada langsung toleransi dari sudut pengawalan kualiti.

No comments:

Post a Comment