Friday, May 6, 2011

Warga UiTM Perlu Bekerjasama Elak Perpecahan Sesama Sendiri - Titah Agong
SHAH ALAM, 25 Nov (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mengingatkan warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) agar sentiasa bekerjasama dan mengelak perpecahan sesama sendiri.

Seri Paduka bertitah setiap warga UiTM perlu memahami dasar dan pendekatan universiti itu sekaligus bersama-sama memainkan peranan dan menyokong hala tujunya.

"Beta percaya setiap individu itu (UiTM) mempunyai kekuatan atau keistimewaan tersendiri yang boleh membantu penambahbaikan universiti ini. Pihak pengurusan perlulah mengenalpasti kekuatan individu itu.

"Berusahalah untuk mendapatkan yang terbaik daripada modal insan tersebut," titah baginda pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen ke-73 UiTM di Dewan Sri Budiman, UiTM di sini pada Khamis.

Baginda selaku Canselor UiTM turut melahirkan rasa gembira apabila permohonan UiTM untuk membina hospital berasaskan pelancongan di institusi pengajian berkenaan mendapat kelulusan kerajaan.

Tuanku Mizan bertitah baginda sendiri menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UiTM dengan dua buah universiti dari Kanada dan Amerika Syarikat dalam usaha membantu UiTM memperkasakan bidang perubatan di universiti itu.

"Selain itu, setiap tahun seramai 50 graduan terbaik dari UiTM akan diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah di universiti terkemuka seperti Oxford, Cambridge, Harvard dan Stanford," titahnya.

Yang di-Pertuan Agong juga menasihatkan graduan UiTM menghulurkan bantuan sukarelawan kepada mangsa-mangsa banjir ynag melanda Kedah dan Perlis baru-baru ini yang telah menyebabkan kehilangan harta benda dan nyawa.

Baginda seterusnya bertitah bahawa majlis konvokesyen kali ini membawa makna yang agak signifikan kepadanya kerana selain di kampus utama UiTM di Shah Alam, majlis itu berlangsung di empat kampus cawangan universiti itu di Perak, Perlis, Sarawak dan Terengganu.

Seramai 21,475 graduan dalam pelbagai bidang menerima diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah kedoktoran falsafah pada konvokesyen kali ini.

Pada majlis itu, Tuanku Mizan berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor kepada dua orang tokoh kejuruteraan dan akademik negara yang banyak menyumbang kepada pembangunan UiTM.

Naib Canselor pertama UiTM, Datuk Dr Ir Ahmad Zaidee Laidin dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor dalam Kejuruteraan Elektrik manakala bekas pengarah Institut Teknologi Mara, Prof Datuk Dr Mohd Mansor Salleh menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor dalam Kejuruteraan Mekanikal

Thursday, May 5, 2011

UiTM teruskan matlamat ‘Mengubah Destini

UiTM teruskan matlamat ‘Mengubah Destini Anak Bangsa’ di Jasin
Oleh Abdul Latif Abu Bakar

2011/03/10

NAJIB  menandatangani batu asas pada majlis pecah tanah UiTM Jasin di Seri Mendapat,  baru-baru ini.
NAJIB menandatangani batu asas pada majlis pecah tanah UiTM Jasin di Seri Mendapat, baru-baru ini.
Pembukaan kampus ketiga di Melaka beri peluang lebih ramai pelajar Melayu sambung pengajian

DALAM tempoh dua tahun iaitu pada 2013, secara fizikalnya Melaka akan memiliki sebuah lagi kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kemampuan menerima sehingga 5,000 pelajar. Kampus ketiga UiTM Melaka di Jasin muncul selepas dua kampus, Kampus Alor Gajah di Lendu dan Kampus Bandar Raya, masing-masing menempatkan kira-kira 7,000 dan 4,000 pelajar.
Pembinaan kampus ketiga yang majlis pecah tanahnya disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 19 Februari lalu akan menjadikan ketiga-tiga daerah di Melaka memiliki kampus UiTM. Daerah Melaka Tengah menempatkan Kampus Bandar Raya, Daerah Alor Gajah memiliki kampus Lendu, manakala Daerah Jasin akan memiliki kampus UiTM yang sedang dibina di atas tapak seluas 218 ekar di Seri Mendapat. Dengan pembinaan ini lengkaplah program, satu daerah sebuah UiTM di Melaka.
Pengarah UiTM Melaka, Datuk Prof Madya Dr Mizan Hitam dalam temu bual beberapa hari lalu, berkata Kampus Jasin akan menawarkan kursus berasaskan sains dan teknologi.

“Tawaran kursus berasaskan sains dan teknologi di Kampus Jasin akan melengkapkan gabungan kursus yang bukan berasaskan sains dan teknologi di Kampus Alor Gajah dan Kampus Bandar Raya,” katanya sambil berkata gabungan kedua-dua bentuk kursus itu seiring dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi.

Sesungguhnya pembinaan sebuah lagi kampus UiTM di kawasan terpencil di Seri Mendapat, Jasin akan memberi makna dan warna baru dalam pembangunan kawasan berkenaan dan daerah Jasin secara khususnya.

Pembinaan kampus di kawasan yang sebelum ini tidak begitu dikenali pasti menggerakkan pertumbuhan sosioekonomi kawasan berkenaan kerana permintaan terhadap penempatan pelajar, tenaga pengajar dan kakitangan bukan akademik serta khidmat sokongan lain akan bercambah.
Seperti kata Dr Mizan, pembinaan Kampus Jasin akan menjana pertumbuhan kawasan urban dan desa Seri Mendapat dan kawasan sekitarnya. Banyak perkhidmatan sokongan lain diperlukan oleh warga kampus berkenaan apabila ia beroperasi sepenuhnya dan semuanya akan memberi manfaat kepada penduduk kawasan setempat.

Pintu masuk ke Kampus Jasin ini bagi mereka yang memandu menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan ialah melalui pintu masuk Merlimau Jasin dengan melalui Plaza Tol Lipat Kajang. Kampus ini terletak kira-kira 30 kilometer dari Bandar Raya Melaka.

Kewujudan kampus baru di Jasin sudah pasti akan memeriahkan suasana pekan kecil itu dan sudah pasti juga Plaza Tol Lipat Kajang kelak akan sama ‘meriah’ dengan Plaza Tol Simpang Ampat yang menjadi pintu masuk ke Alor Gajah dan Plaza Tol Ayer Keroh yang menjadi pintu masuk ke Bandar Raya Melaka.

Yang menarik juga mengenai penubuhan sebuah kampus baru di kawasan pedalaman ialah UiTM akan memenuhi matlamatnya untuk menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan peringkat tinggi secara lebih meluas lagi kepada anak Melayu yang mungkin kurang mendapat peluang sedemikian kerana masalah kewangan keluarga.

Pembukaan peluang pendidikan untuk anak bangsa jugalah yang diperjuangkan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar apabila beliau mengambil alih tampuk pentadbiran universiti itu. Beliau menggerakkan sebuah program khusus - Mengubah Destini Anak Bangsa - untuk memastikan UiTM menelusuri kembali jejak-jejak awal penubuhannya untuk menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak Melayu.

Program Mengubah Destini Anak Bangsa yang menjadi sebutan utama Dr Sahol dalam hampir segenap pertemuan rasmi, menawarkan peluang melanjutkan pengajian dari peringkat pra-diploma hinggalah ke peringkat ijazah lanjutan dengan pelbagai keistimewaan seperti pengecualian bayaran yuran kepada anak bangsa yang tidak berkemampuan.

Beliau melihat Program Mengubah Destini Anak Bangsa sebagai sesuatu yang sangat dekat dengan dirinya kerana dalam hampir setiap pertemuan beliau menceritakan perihal dirinya yang dihimpit kemiskinan ketika zaman kanak-kanak dan atas kesedaran itu, beliau mahu menyediakan kemudahan melanjutkan pelajaran seluas-luasnya kepada anak bangsa yang turut dihimpit kemiskinan.

Sudah terbukti bahawa perubahan destini bermula dengan pendidikan dan atas kesedaran itu terbentuknya Dewan Latihan RIDA (Rural and Industrial Development Authority) pada 1956 yang menjadi pemula bagi penubuhan UiTM. Kira-kira sembilan tahun selepas itu, Dewan Latihan RIDA dipindah ke bawah bidang kuasa Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan namanya turut bertukar menjadi Maktab Mara.

Bagaimanapun, acuan sebenar UiTM ini terbentuk pada 1967 apabila Maktab Mara mendapat nama baru iaitu Institut Teknologi Mara (ITM). Institusi pengajian ini tinggi terus kekal menjadi benteng perjuangan mengangkat martabat pendidikan bangsa Melayu hatta selepas bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peningkatan taraf ITM menjadi sebuah universiti penuh pada 1996 dan sehingga hari ini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara.

Benteng perjuangan mengangkat taraf pendidikan anak bangsa ini terus berjalan dan bukti terbaru ialah penubuhan UiTM Melaka Kampus Jasin.

Biar apa pun diperkatakan orang, pendidikan menjadi salah satu aspek paling utama dalam usaha membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia serta mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia demi menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi seperti dihasratkan oleh perdana menteri kedua, Allahyarham Tun Haji Abdul Razak Hussein ketika beliau melancarkan Dasar Ekonomi Baru pada 1971.

Ketika majlis pecah tanah Kampus Jasin bulan lalu, Najib mengumumkan sudah 400,000 graduan dilahirkan oleh universiti berkenaan manakala 180,000 orang masih menuntut kampus-kampus UiTM di seluruh negara, dari Segamat, Johor ke Jengka, Pahang, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ke Seri Iskandar, Perak dan dari Mukah, Sarawak ke Tawau, Sabah.

Sebenarnya pembinaan UiTM Kampus Jasin menjadi kenyataan selepas kerajaan negeri Selangor menolak cadangan penubuhan kampus di negeri itu yang ditaja oleh Yayasan Basmi Kemiskinan. Siapa sangka, Jasin pula mendapat rahmat daripada permainan tarik tali itu.

RM100j dana inovatif

RM100j dana inovatif
Oleh Syuhada Choo Abdullah, Khairul Azran Hussin dan Suffian A Bakar
bhnews@bharian.com.my
2011/04/01

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah RM2.7 juta daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri), kepada Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UITM), Datuk Profesor Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar (kanan), pada Majlis Perjanjian Usahama Pusat Technopreneur UiTM-MTDC dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) serta pelancaran Business Start Up Fund di Dewan Sri Budiman UiTM, di Shah Alam, semalam. - Foto Sairien Nafis
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyaksikan penyerahan replika cek berjumlah RM2.7 juta daripada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kiri), kepada Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UITM), Datuk Profesor Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar (kanan), pada Majlis Perjanjian Usahama Pusat Technopreneur UiTM-MTDC dengan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) serta pelancaran Business Start Up Fund di Dewan Sri Budiman UiTM, di Shah Alam, semalam. - Foto Sairien Nafis
Pembiayaan lahir usahawan teknologi teroka bidang baru, jana kekayaan: PM

SHAH ALAM: Kerajaan meluluskan peruntukan RM100 juta untuk Dana Permulaan Perniagaan (BSF) sebagai inisiatif terbaru untuk membantu usahawan menghasilkan produk inovatif dan berpotensi di pasaran.
Sasaran BSF ialah syarikat peringkat permulaan yang berasaskan teknologi, termasuk syarikat pemilikan universiti dan memiliki produk berpotensi tinggi ke pasaran. Bagaimanapun, syarikat terbabit mesti dimiliki 70 peratus oleh usahawan atau kumpulan usahawan sepenuh masa rakyat Malaysia.
Ketika mengumumkannya semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata pembiayaan BSF bersifat anjal tanpa cagaran dengan tempoh pembayaran balik selama lapan tahun dengan tiga tahun pertama bebas daripada sebarang pembayaran.

“Ini pembiayaan yang amat baik dan bukti keprihatinan kerajaan untuk melahirkan generasi usahawan teknologi yang berpeluang menerokai bidang terbaru. Usaha ini selaras Model Baru Ekonomi (MBE) di mana kejayaan kita mesti berasaskan kemampuan menjana kekayaan.

“Ini kerana jika dapat menjana kekayaan melalui teknologi, kita berpotensi menjadi sebuah negara maju. Sekiranya kita menjana kekayaan tanpa menggunakan teknologi, kita akan tewas dalam medan persaingan global yang semakin hebat,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama Pusat Technopreneur' Universiti Teknologi Mara (UiTM)-MTDC dan Perasmian BSF di UiTM, di sini semalam.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Pro Canselor UiTM, Tan Sri Arshad Ayub dan Tan Sri Sallehudin Mohamed; Pengerusi Lembaga Pengarah UiTM, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin; Pengerusi MTDC, Datuk Siti Hajar Mohd Ismail; Ketua Eksekutif MTDC, Abdul Halim Yunus; dan Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar.
Najib turut menyaksikan penyampaian replika cek RM2.7 juta daripada Kementerian Pengajian Tinggi yang disampaikan Mohamed Khaled kepada UiTM melalui Sahol Hamid, sebagai peruntukan bagi program `High End Graduate Enternship' yang diterajui universiti itu.

Sambil menjelaskan kos permulaan ialah salah satu cabaran yang perlu diatasi, Najib berkata, syarikat atau bakal usahawan teknologi yang memiliki idea baik tetapi tidak diterima oleh bank komersial untuk mendapatkan pinjaman perlu dibantu.

“Anak muda kita mungkin tidak ada rekod pencapaian dan mempunyai baki bank yang kecil, tetapi mereka ada daya semangat yang kuat. Mungkin idea mereka boleh mendatangkan pulangan besar suatu hari nanti. Inilah yang memerlukan kepada penilaian bukan seperti yang biasa dibuat bank komersial.

“BSF adalah inisiatif amat baik yang dapat memberi dorongan kuat kepada usahawan baru yang mempunyai idea dan memerlukan pertolongan seperti modal permulaan,” katanya.

Sementara itu di Petaling Jaya, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah melawat seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, Nur Jannah yang menghidap kanser tulang, di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) atas permintaan Nur Jannah yang berhasrat bertemu Perdana Menteri. Beliau turut memberi kata-kata semangat kepada remaja berkenaan serta menghadiahkan sebuah I-pod kepada remaja itu sebagai penghibur hatinya.

Dalam pada itu, Najib berkata, tahun lalu, UiTM menerima geran penyelidikan RM21 juta daripada kementerian untuk Skim Geran Penyelidikan Fundamental, iaitu yang tertinggi di kalangan universiti tempatan.

Pada tahun sama, UiTM berjaya mendapatkan 21 peratus atau lebih RM35 juta daripada geran penyelidikan Sektor Perindustrian dan Antarabangsa, juga tertinggi di negara ini.

“Saya juga difahamkan UiTM sudah berjaya mendapatkan paten untuk empat produknya dan 129 lagi dalam proses mendapatkan paten,” katanya.
Sementara itu, Sahol Hamid berkata, universiti berkenaan akan meningkatkan pengambilan pelajar kepada 200,000 Jun depan, lebih awal daripada sasaran pada 2015.

Beliau berkata, sebagai universiti awam terbesar, menjadi tanggungjawab UiTM melahirkan graduan berwibawa dan memenuhi keperluan negara dalam pelbagai bidang teknologi tinggi.

Sunday, May 1, 2011

Kami juga menyediakan koleksi-koleksi ilmiah bertujuan untuk pelajar mencari
dan menyelidik bagi tugasan yang di berikan seperti koleksi surat khabar,pinjaman cd dan menyediakan koleksi kertas peperiksaan .
KUPASAN BERITA 24/02/2011

Wawancara: UiTM teruskan kecemerlangan
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
feroz@bharian.com.my
2011/02/24

Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar,Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar,Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Bakal buka 13 cawangan baru dengan memperkenalkan pelbagai bidang baru

SELEPAS lebih setahun dilantik Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkongsi pengalaman sebagai pentadbir utama kepada 187,000 pelajar, 9,000 kakitangan akademik dan 9,000 kakitangan am.
Ikuti temubual bersama Wartawan Varsiti, Mohd Feroz Abu Bakar mengenai cabaran yang dilalui universiti istimewa itu.
S Boleh Datuk ceritakan cabaran mentadbir universiti terbesar sejak setahun lalu?

J
Saya pernah bertugas selama dua setengah tahun di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Saya terbabit dengan pentadbiran 20 institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) dan ditugaskan membuat penilaian bagi setiap IPTA. Saya juga terbabit dalam Universiti Apex dan MyBrain15. Pengalaman berkhidmat bersama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selama dua setengah tahun itu memberi pengetahuan asas yang kuat. Apabila kembali semula ke UiTM, saya boleh terus mula bekerja. Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan cabarannya tetap ada. Cabaran awal ialah untuk mendekati pelajar, pensyarah dan kakitangan UiTM. Cabaran seterusnya ialah menjelaskan hala tuju UiTM dalam dekad baru dan menyampaikan perancangan ini melalui amanat kepada seluruh warga. Bukan sekadar itu, saya turut turun padang dengan melawat fakulti dan kampus cawangan bagi menjelaskan perancangan ini dengan lebih terperinci. Ternyata, tindakan ini mendapat sokongan seluruh warga UiTM, malah mereka meminta supaya diberi peluang untuk terbabit sama dalam pelaksanaan perancangan itu. Selain itu, kemudahan kepada pelajar, pensyarah dan kakitangan turut memberi cabaran tersendiri kepada saya. Ketika ini, kemudahan kolej kediaman tidak mencukupi, iaitu hanya kira-kira 60 peratus pelajar mendapat kemudahan ini. Pelbagai usaha sedang giat dijalankan untuk meningkatkan sehingga 80 peratus pelajar mendapat kemudahan yang sama.

Kita memberi kemudahan kediaman percuma untuk pelajar semester pertama bagi program diploma dan ijazah. Jika masih ada kekosongan, keutamaan akan diberikan kepada pelajar miskin yang senior. Kolej kediaman memerlukan kos tinggi termasuk bagi kerja penyelenggaraan. Keutamaan dana yang ada ialah untuk kemudahan akademik. Bagi pelajar yang tinggal di luar kampus secara tidak langsung mereka turut berperanan sebagai ejen pengembangan ekonomi luar kampus menerusi peningkatan rumah untuk disewa, kedai makan dan sebagainya.

KPT dan Jabatan Perdana Menteri memainkan peranan yang cukup penting untuk membantu saya mendapatkan peruntukan bagi kemudahan pelajar, pensyarah serta kakitangan yang lain. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sangat prihatin dan mengambil berat mengenai UiTM. Ini meringankan beban berat yang saya pikul.
Saya menggunakan slogan baru seperti ‘UiTM di hatiku’, ‘Cintaku, Nyawaku dan Hatiku adalah UiTM’ dan ‘Dalam Darahku UiTM Mengalir’. Malahan, Menteri Pengajian Tinggi dan Perdana Menteri turut mengatakan bahawa ‘UiTM di hatiku juga’. Dengan slogan ini, kita dapat menarik perhatian pelajar, pensyarah dan kakitangan supaya menyayangi universiti ini. Saya juga berpesan kepada semua agar sentiasa meletakkan UiTM di hadapan apabila ingin melakukan sesuatu perkara supaya imej UiTM sentiasa terpelihara.

S UiTM mungkin dicemburui kaum lain ?

J
Saya memikul amanah dan berada di sini untuk melaksanakan apa yang dipertanggungjawab kepada saya. UiTM sudah wujud sejak 54 tahun dulu. Kita tidak pernah mengganggu atau menggugat sesiapa pun. Kita tidak mengambil hak orang lain maka kita mengharapkan agar semua pihak menghormati perkara ini dan jangan sesekali menuntut hak yang kita miliki sekarang.

S Selain turun padang, apa kaedah lain Prof mendekati pelajar dan kakitangan ?

J
Saya menggunakan facebook sebagai medium perantaraan di antara saya dengan pelajar, warga dan alumni UiTM, malah sesiapa juga tanpa had. Pada mulanya, saya menggunakan akaun facebook saya sendiri, tetapi kini sudah dijadikan facebook UiTM. Ini memudahkan pelajar mendekati saya dan saya mendekati pelajar. Selagi boleh, saya sendiri yang akan menjawab soalan yang dikemukakan. Jika tidak, timbalan saya sentiasa sedia membantu. Dalam masa 10 bulan, hampir 28,000 orang sudah menjadi kenalan saya. Melalui facebook, banyak informasi yang saya peroleh. Pensyarah yang tidak masuk ke kelas pun berada dalam pengetahuan saya. Tidak keterlaluan jika saya katakan, facebook antara kaedah yang saya gunakan untuk mengawal sistem UiTM.

Selain itu, saya tidak mengehadkan pelajar, pensyarah mahupun kakitangan pentadbiran datang berjumpa saya asal saja saya mempunyai kelapangan waktu.

S Bagaimana dengan pencapaian sejak setahun lalu ?

J
Antara pencapaian yang dapat dilihat dengan jelas ialah komunikasi terbuka. Ini pencapaian luar biasa kerana mereka sentiasa boleh mengaitkan diri dengan UiTM. Pencapaian kedua ialah slogan yang saya mulakan iaitu meletak Melayu di peta dunia, meletak UiTM di peta dunia dan meletak fakulti di peta dunia.

Usaha ini membuahkan hasil yang baik apabila UiTM terus menerus mendapat pengiktirafan antarabangsa. Pelbagai universiti terkemuka dunia mengiktiraf UiTM dan ingin menjalinkan hubungan kerjasama dengan kita. Antara universiti itu ialah Universiti Oxford, Un iversiti Harvard, Universiti McGill dan Universiti The Johns Hopkins. Ini menunjukkan UiTM terkenal dan mereka menerima kita sebagai rakan kongsi dengan baik sekali.

Kita sedang membuat perancangan baru untuk menerima kehadiran 250,000 orang pelajar di seluruh sistem UiTM termasuk kolej bersekutu menjelang 2015 atau 2018. Kita akan menambah 13 buah kampus baru termasuk enam yang sedang dalam pembinaan. Kita juga menjalinkan kerjasama pintar dengan pihak swasta dengan menjemput mereka menjadi rakan kongsi untuk membiayai pembinaan kampus baru. Kita menyediakan tapak dan mereka menyediakan infrastruktur. Ini cara yang efektif untuk memodenkan kampus.

Dari segi akademik, kita akan memperkenal 200 program baru yang bersifat multidisiplin, multifakulti dan futuristik bagi menggantikan program sedia ada yang sudah kurang relevan dengan situasi semasa.

Saya juga memperkenal program ‘Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB)’. Ini program khas kerana asal-usul penubuhan UiTM ialah untuk membantu pelajar miskin mendapat peluang pendidikan yang sama seperti orang lain. Pada setiap semester, kita menawarkan lebih kurang 20,000 tempat kepada pelajar terbaik lepasan SPM/Matrikulasi/STPM dan ramai kalangan mereka daripada golongan berada atau mampu mendapat biasiswa atau pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional. Menyedari golongan kurang mampu ini perlu dibantu, di sinilah program MDAB memainkan peranannya. Pelajar miskin yang tidak diterima masuk ke mana-mana institusi pengajian tinggi, diberi peluang belajar di UiTM supaya suatu nanti dapat mengubah takdir diri serta keluarga mereka.

Bagi yang ditawarkan tempat, mereka akan mengikuti program pradiploma selama enam bulan. Kira-kira 70 peratus daripada 5,000 pelajar bagi kumpulan pertama sudah berjaya meneruskan pengajian ke peringkat diploma. Ini kejayaan besar kerana mereka tidak perlu memohon ke universiti lain. Bagi pelajar yang gagal, kita berikan peluang kedua seperti mengikuti program kemahiran di Pusat Giat MARA atau mana-mana program keusahawanan.

S Apa strategi untuk UiTM terus bersaing dengan universiti lain ?

J
Kita tidak perlu bersaing dengan universiti lain kerana UiTM mempunyai hala tuju yang lain. Matlamat kita jelas dan kita tidak bersaing untuk menjadi universiti penyelidikan. Kita juga tidak bersaing dengan Harvard. Harvard hanya menerima pelajar yang terbaik, kaya dan berkuasa. Harvard mengeluarkan graduan terbaik untuk Amerika Syarikat. Tetapi, UiTM bukan hanya menerima masuk pelajar terbaik, malah turut membuka peluang kepada pelajar dengan kelayakan minimum serta daripada golongan miskin, namun kita masih mampu mengeluarkan graduan terbaik untuk negara. Itulah bezanya Harvard dengan kita. Harvard tidak boleh buat apa yang kita boleh buat. Itulah sebabnya mengapa saya katakan UiTM ada hala tujunya yang lain dan tersendiri.

Kita bersyukur kerana kebolehpasaran graduan kita masih tinggi. Peratus kebolehpasaran graduan tertinggi masih dimiliki oleh UiTM. Dalam tempoh enam bulan selepas bergraduasi, 80 peratus graduan kita berjaya memperoleh pekerjaan. Kebanyakan program UiTM ialah program profesional. Mungkin ada sebilangan masyarakat yang berpendapat kuantiti akan menjejaskan kualiti. Namun kita berani beri jaminan bahawa setiap program yang kita tawarkan dikawal ketat oleh lebih kurang 40 badan profesional dan badan berkaitan dengan bidang berkenaan dari dalam dan luar negara. Apabila program ini dikawal sedemikian rupa, pastinya tidak ada langsung toleransi dari sudut pengawalan kualiti.


Perpustakaan UITM Negeri Sembilan telah memulakan perkhidmatan pada 1hb june 1999, dengan mengambil alih Kompleks Pertanian Negeri Sembilan Timur, Kementerian Pertanian di Jalan Melang ,Kuala Pilah. Bertujuan memberi perkhidmatan perpustakaan kepada kursus-kursus yang dijalankan di UITM Negeri Sembilan. Pada 2hb June perpustakaan ini telah berpindah ke kampus tetap di Parit Tinggi dan boleh menampung seramai 600 orang pengguna dalam satu masa.Perpustakaan ini juga menyediakan bilk seminar yang boleh menampung seramai 40 orang dalam satu masa.